Tips Kontraktor

Modal Awal Untuk Kontraktor Memulakan Projek

Modal awal untuk kontraktor memulakan projek

Bagi kontraktor yang baru bermula, kemudahan untuk mendapatkan modal boleh menjadi satu kekangan jika tidak ada pengetahuan tentangnya. Jika anda memperolehi kontrak membekalkan barang atau perkhidmatan, modal kerja yang diperlukan adalah 5% dari nilaian projek.

Ini akan digunakan untuk memulakan kerja-kerja awalan contohnya belian insurans, bon jaminan, kerja-kerja audit tapak, persediaan tapak dan kerja-kerja sebelum memulakan skop kerja utama dalam kontrak. Bagi menguruskan keseluruhan kontrak, modal yang diperlukan ialah 70%.

 

Modal awal untuk kontraktor memulakan projek
Ada jalan untuk mendapatkan modal bagi memulakan bisnes kontraktor.

 

Sumber mendapatkan modal

1. Modal persendirian. Modal ini adalah jumlah tunai yang anda miliki. Ia akan digunakan untuk menguruskan kos pengoperasian harian contohnya bayaran gaji pekerja, sewa pejabat, kenderaan, utiliti dan kos pentadbiran dan pengurusan bisnes yang lain. Jika anda menggunakan tunai ini bagi menguruskan kontrak, masalah akan tiba semasa menguruskan kos operasi harian.

2. Deposit. Bayaran pendahuluan ini diperolehi dari pelanggan sebelum memulakan kerja. Jika mendapat kontrak kerajaan, anda boleh memohon dari bendahari atau juru ukur bahan (quantity surveyor) yang menguruskan kontrak tersebut.

3. Pelabur projek atau rakan strategik yang menawarkan modal pendahuluan dengan bayaran balik bersama dengan untung kasar projek. Jika anda mendapat kontrak projek RM500,000 dengan anggaran untung kasar 5%, anda boleh menawarkan bayaran ekstra 5% dari jumlah yang dilaburkan oleh pelabur.

4. Kemudahan kredit dari pembekal yang boleh memberikan kepercayaan dengan membekalkan stok projek.

5. Pembiayaan kontrak dari bank komersil dengan meletakkan sesuatu aset sebagai cagaran bagi mendapatkan jaminan pembiayaan.

6. Pembiayaan kontrak dari agensi kerajaan boleh dipohon menerusi kemudahan kewangan menerusi surat Ikatan Penyerahan Hak (Deed of Assignment).

 

Pembiayaan kemudahan

Terdapat 3 jenis pembiayaan iaitu :

1. Kaedah pemfaktoran iaitu bayaran awal kepada kontraktor selepas pelanggan mengesahkan kontrak kerja telah disiapkan dengan sempurna.

2. Pembiayaan bank komersil iaitu pinjaman berbentuk kredit yang ditawarkan oleh bank dengan mengambil cagaran yang boleh dicairkan jika kontraktor tidak dapat menjelaskan semula pinjaman.

3. Skim pembiayaan kontrak iaitu pinjaman tunai yang diberikan oleh agensi kerajaan untuk kontrak-kontrak bekalan kerajaan dengan jaminan pemilik perniagaan.

 

Pembiayaan bank komersil adalah seperti di bawah :

1. Overdraf iaitu kredit tambahan dalam bentuk tunai yang boleh terus digunakan menerusi akaun bank. Bank akan mengenakan syarat cagaran 1 : 1 dalam bentuk deposit tetap bagi mendapatkan pembiayaan ini.

2. Pemfaktoran iaitu pembayaran awal kepada kontraktor selepas pelanggan mengesahkan kontrak kerja telah disiapkan dengan sempurna.

3. Sewa beli (hire purchase) iaitu pembiayaan jangka panjang untuk membeli kenderaan atau jentera.

4. Sewa pajak (leasing) pembiayaan jangka pendek untuk membeli perkakas, peralatan kerja seperti komputer dan pencetak.

5. Surat kredit (letter of credit) iaitu jaminan bayaran kepada pembekal oleh pihak bank selepas bekalan tiba kepada kontraktor.

 

Skim pembiayaan kontrak

Skim pembiayaan kontrak yang ditawarkan oleh agensi kerajaan adalah seperti di bawah :

  • Skim Pembiayaan Kontrak dari SME Bank Berhad
  • Skim Pembiayaan Kontrak-i dari Tekun Nasional
  • Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dari MARA
  • Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) dari PKK untuk kontraktor G1 hingga G5 yang memperolehi kontrak JPS dan JKR sahaja
  • Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dari CGC

Sebaik sahaja anda memperolehi kemudahan modal kerja, laksanakanlah kontrak yang diperolehi dengan serius, komited dan berdedikasi. Pastikan anda dapat menyemai keyakinan dan kepercayaan pemodal dan peliharalah hubungan baik dengan mereka.

Penulis asal : Mahanom Mohammad

 

Ikhwan Fahmi
Project Manager
KBRA Bina
017-3452175

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *